LONDON, England: Bekas kapten Manchester United dan skuad kebangsaan England, Rio Ferdinand, yang pernah merupakan pemain pertahanan paling mahal di dunia, mengumumkan persaraannya dari bola sepak Sabtu lepas.
Pemain berusia 36 tahun itu, di mana isterinya, Rebecca Ellison meninggal dunia pada 1 Mei kerana barah payudara, menghabiskan musim terakhir bola sepaknya di Queens Park Rangers (QPR).
Bercakap kepada BT Sport, Ferdinand berkata: “Selepas 18 tahun sebagai pemain profesional, saya sekarang merasakan ia adalah masa yang sesuai untuk bersara dari sukan yang saya cintai,” jelas beliau.
“Musim ini, saya benarbenar menyedari di mana ia adalah masa untuk bersara dan kembali ke rumah dan menonton perlawanan pemain lain.
” Pada era kegemilangannya bersama United, Ferdinand dikenali sebagai pemain yang hebat, yang membenarkan lawan memasuki zon bahaya sebelum melakukan terjahan keras.
Hantaran bola beliau juga tepat dan ia merupakan aset utama permainannya.
Paul Scholes, bekas rakan sepasukannya di United, memuji Ferdinand dengan berkata: “Beliau adalah pemain yang hebat, tanpa keraguan pemain pertahanan tengah terbaik yang pernah bermain dengan saya.
Saya mahu berkata sejak sekian lama di mana beliau adalah pemain pertahanan tengah terbaik di dunia.
” Bermain 81 kali di tiga Piala Dunia bersama England, tetapi di peringkat kelab, beliau menikmati kejayaan besar dengan memenangi enam kejuaraan Liga Perdana Inggeris dan Liga Juara-Juara sepanjang 12 musim di Manchester United.
“Saya akan sentiasa dianggap pemain dengan 81 kali bermain untuk England dan saya bermain dengan penuh rasa bangga.
Semua ini adalah kenangan manis untuk sepanjang hidup saya,” kata Ferdinand.
Ferdinand memulakan kerjayanya di West Ham sebelum perpindahan bernilai 18 juta pound ke Leeds United di mana prestasi cemerlang beliau di Leeds membolehkan bekas pengurus United, Alex Ferguson sanggup membayar satu rekod 30 juta pound untuk seorang pemain pertahanan pada 2002.
Ferdinand melihat perpindahan itu menjadikan beliau pemain berjaya dan dengan pengaruh besar Ferguson dalam pembangunan permainannya.
“Pencapaian terbaik beliau di mata saya ialah cara beliau membangunkan kami sebagai lelaki, bukan hanya pemain bola sepak.
Beliau pada pandangan saya sentiasa merupakan pengurus terhebat dalam sejarah bola sepak British,” kata Ferdinand.
Bagaimanapun, selain dari kecederaan, ada juga kenangan buruk buat beliau seperti tidak menghadiri sesi ujian dadah yang menyebabkannya digantung lapan bulan pada September 2003. — AFP